Tuesday, January 10, 2006

Bigfoot: Fact or Fantacy?



BIGFOOT : Kaum di zaman Iskandar Dzulkarnain?


Baru-baru ini kita membaca berita tentang dakwaan penemuan makhluk baru yang lebih dikenali sebagai BIGFOOT atau pelbagai nama lagi. Berita penemuan ini turut mendapat perhatian banyak media antarabangsa dan secara tidak langsung telah mempromosikan negara kita Malaysia di kacamata dunia. Sebelum ini makhluk berbulu dan besar itu hanya dikenali di utara Amerika dan pergunungan Himalaya. Pengalaman bertemu spesies asing ini sungguh menggemparkan dan beberapa gambar yang sempat dirakamkan membuktikan 'fantacy' itu hampir menyingkap 'fakta' bahawa masih banyak hidupan pelik tapi benar di bumi Allah ini.
Bagi sesetengah pihak, berita ini dianggap hanyalah fantasi dan berita murahan untuk memperbodohkan pembaca. Malah ada mendakwa paparan kisah abnormal ini boleh melemahkan daya pembangunan minda bangsa sahaja. Apabila melayari beberapa laman web luar, kita juga mendapati keghairahan untuk mengkaji 'kisah pelik' ini turut diminati oleh individu maupun pertubuhan atau media antarabangsa.
Pagi ini saya mencari sesuatu dari intisari kisah benar yang ditulis dalam kitab-kitab agama. Antara kisah menarik ialah dari buku 'Pertentangan Iman dengan Materialisma' oleh Maulana Abul Hassan Ali An-Nadwi dari Nadwah al Ulama Lucknow India. Beliau telah menyentuh kisah-kisah yang dipaparkan dalam surah Al Kahfi terutama kisah pengembaraan Iskandar Dzulkarnain. Sebetulnya saya lebih berminat membaca tulisan-tulisan ulama haraki seperti beliau, Sheikh Syahid Qutb dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam menafsirkan sesuatu ayat al Quran. TG Haji Abdul Hadi misalnya turut menafsirkan surah alKahfi dalam bukunya bertajuk Tafsir Attibyan. Namun tiada penjelasan lanjut atau tumpuan kepada ayat ke 90 yang bermaksud:
"Sehingga apabila dia ( Dzulkarnain) sampai ( ke negeri) tempat matahari terbit, didapatinya mempunyai bangsa yang tidak Kami adakan ( pakaian) penutup badannya"
Dalam Tafsir Al Quran oleh Bapak Ahmad Sonhadji Mohamad dalam Juz 16 muka surat 34 pula, beliau telah menghuraikan bahawa Dzulkarnian telah menemui satu bangsa yang ganjil keadaannya. Mengikut tafsir al Maraghi menyebut bangsa itu terdedah tubuh badannya ( berbogel) kerana tiada berpakaian, tiada rumah dan terdedah kepada panas matahari. Mereka mendiami lubang-lubang dalam tanah. Di lubang itulah mereka berlindung pada waktu siang dan keluar pada malam hari untuk mencari makan mengikut cara mereka. Mereka tidak pula mengikut kebiasaan lain-lain bangsa.
Bigfoot?
Berdasarkan beberapa penemuan rakyat negara kita, hampir kesemuanya mendakwa terserempak dengan makhluk berbulu ini selepas lewat senja dan malam. Adakah ini manusia ganjil yang dikhabarkan oleh Allah swt dalam surah Al Kahfi ini? ada persamaan habitat hidup mereka iaitu tanpa pakaian, ganjil dan aktif di waktu malam. Saya menaruh keyakinan bahawa kaum ini adalah sebangsa dengan manusia dan bukannya saki baki monyet prasejarah yang didakwa oleh penyelidik-penyelidik luar. Mereka sudah pasti tinggal dalam gua-gua batu atau lubang-lubang tanah yang dikorek sendiri. Sifat malu dan melarikan diri apabila bertemu dengan manusia mungkin memberi makna bahawa mereka mempunyai naluri yang sama seperti manusia dan riaksi ganas bila terserempak dengan manusia adalah untuk mempertahankan diri.
Kenapa mereka semakin kerap dijumpai sekarang? adakah kekerapan berlakunya gempa bumi sekarang ini memberi kesan kepada kehidupan mereka dalam lubang-lubang bumi? mungkinkah sudah sampai ketentuan Allah bahawa mereka dan juga Ya'juj serta Ma'juj akan keluar sebagaimana ayat ke 99 surah al Kahfi:
" Dan kami ( Allah) biarkan mereka pada hari itu satu sama lain bergelora ( merempuh keluar)" Tafsir Ahmad Sonhadji.
" Dan kami biarkan mereka pada hari itu ( keluar beramai-ramai) bercampur baur antara satu dengan yang lain" Tafsir Hasan Ali Na-Nadwi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home